PERKHIDMATAN

PERKHIDMATAN SIRKULASI

Pendaftaran Keahlian
Pihak perpustakaan akan mendaftarkan semua pelajar dan staf UTHM sebagai ahli perpustakaan. Pelajar dan staf baru dinasihatkan agar menyemak akaun perpustakaan melalui laman web perpustakaan. Pengguna yang belum berdaftar sebagai ahli perpustakaan hendaklah mendaftar di Kaunter Sirkulasi. Kelayakan peminjaman bagi setiap ahli akan ditentukan mengikut kategori pengguna.

Peminjaman dan Pemulangan
Peminjaman bahan perpustakaan boleh dilakukan di Kaunter Sirkulasi atau di Mesin Pinjaman Layan Diri. Pengguna perlu membawa kad pelajar/staf semasa berurusan di kaunter atau mesin pinjaman. Pengguna dilarang menggunakan kad pengguna lain. Setiap transaksi peminjaman bahan akan disertakan slip peminjaman. Pengguna dinasihatkan menyemak tarikh pemulangan bahan pada slip tersebut atau melalui rekod pinjaman dalam akaun perpustakaan bagi mengelakkan dendaan lewat memulangkan bahan. Kadar dendaan lewat adalah mengikut kategori bahan.
Pemulangan bahan perpustakaan boleh dilakukan di Kaunter Sirkulasi atau melalui Book Drop. Setiap transaksi pemulangan bahan akan disertakan slip pemulangan. Pengguna dinasihatkan menyimpan slip tersebut sehingga rekod pinjaman dalam akaun perpustakaan disemak dan dipastikan telah dikemaskini.

Notis Peringatan/Kelewatan
Notis Peringatan akan dihantar kepada pengguna melalui e-mail 2 hari sebelum tarikh tamat pinjaman untuk memaklumkan pengguna mengenai tarikh memulangkan bahan dan mengingatkan pengguna supaya memperbaharui pinjaman. Sekiranya bahan tidak dipulangkan pada tarikh pemulangan, Notis Kelewatan Pertama akan dihantar 1 hari selepas tarikh tamat pinjaman bahan. Sekiranya bahan masih tidak dipulangkan, Notis Kelewatan Kedua akan menyusul selepas 7 hari dari tarikh tamat pinjaman. Sekiranya bahan masih tidak dipulangkan juga, Notis Kelewatan Ketiga (notis terakhir) akan menyusul selepas 13 hari dari tarikh tamat pinjaman dan akaun perpustakaan pengguna akan digantung sementara. Pengguna diminta hadir ke perpustakaan untuk memulangkan bahan dan mengaktifkan semula akaunnya. Pengguna dinasihatkan menyemak tarikh pemulangan bahan pada slip peminjaman atau melalui rekod pinjaman dalam akaun perpustakaan untuk mengelakkan dendaan lewat memulangkan bahan.

Penggantian Bahan Hilang
Sekiranya bahan yang dipinjam hilang, pengguna perlu melaporkannya di Kaunter Sirkulasi dengan segera. Pengguna diberi tempoh 1 bulan untuk mencari bahan yang hilang. Selepas tempoh tersebut, sekiranya pengguna masih tidak menjumpai bahan tersebut, pengguna perlu menggantikan bahan yang hilang dengan bahan yang sama atau membayar harga bahan.

Penggantian Bahan Rosak
Sekiranya bahan yang dipinjam rosak isi kandungan atau rupa bentuknya, pengguna perlu melaporkannya di Kaunter Sirkulasi dengan segera. Pustakawan akan menaksir bayaran gantirugi kerosakan yang perlu dibayar oleh pengguna.

Pembaharuan Pinjaman
Pembaharuan pinjaman boleh dilakukan secara atas talian melalui rekod pinjaman dalam akaun perpustakaan pengguna. Pengguna dibenarkan memperbaharui pinjaman sebanyak 2 kali sahaja. Pembaharuan pinjaman tidak dibenarkan sekiranya ada pengguna lain yang telah membuat tempahan keatas bahan yang sama. Pembaharuan pinjaman secara atas talian boleh dilakukan sebelum tamat tarikh pinjaman.

Tempahan
Bahan yang didalam pinjaman pengguna lain boleh ditempah di Kaunter Sirkulasi atau melalui Katalog Perpustakaan. Bahan yang ditempah akan disusun di rak tempahan (Kaunter Sirkulasi) selama 7 hari apabila ia dipulangkan oleh pengguna yang meminjam. Sekiranya pengguna yang menempah tidak mengambil bahan yang ditempah sehingga tamat tempoh tersebut, tempahan akan dibatalkan dan bahan yang ditempah akan disusun semula ke rak biasa. Pengguna dinasihatkan menyemak status bahan yang ditempah melalui rekod tempahan dalam akaun perpustakaan.

Perkhidmatan Penghantaran

Perkhidmatan penghantaran bahan perpustakaan adalah untuk staf akademik dalam kawasan kampus sahaja. Perkhidmatan ini meliputi penghantaran bahan yang ditempah iaitu buku koleksi akses terbuka, bahan audio visual dan bahan yang dimohon melalui perkhidmatan pinjaman antara perpustakaan. Bahan yang dimohon akan direkodkan dalam akaun perpustakaan pemohon dan akan dihantar ke pejabat pemohon. Pengguna juga boleh memohon untuk memulangkan bahan melalui perkhidmatan ini.

 

PERKHIDMATAN RUJUKAN DAN MAKLUMAT

Perkhidmatan Rujukan
Pengguna yang ingin mendapatkan bahan untuk penyelidikan dinasihatkan berjumpa pustakawan di Bilik Khidmat Pengguna (Aras 1). Pengguna boleh berbincang dengan pustakawan yang bertugas untuk mendapatkan panduan berkenaan kaedah pencarian bahan yang sesuai dengan keperluan pengguna. Pustakawan akan mengenalpasti keperluan sebenar pengguna sebelum mencadangkan beberapa sumber maklumat yang boleh digunakan.

Kelas Kemahiran Maklumat
Kelas Kemahiran Maklumat adalah program bimbingan khusus mengenai penggunaan perkhidmatan dan kemudahan di perpustakaan. Pustakawan akan mengendalikan kelas pada tarikh yang telah ditentukan pada setiap semester. Topik perbincangan meliputi teknik pencarian bahan melalui katalog perpustakaan dan pencarian maklumat melalui pangkalan data atas talian. Dengan mengikuti kelas ini, pengguna berpeluang mempraktikkan teknik pencarian maklumat dengan bimbingan pustakawan.

Pinjaman Antara Perpustakaan
Perkhidmatan ini adalah bagi mendapatkan bahan yang tiada dalam koleksi Perpustakaan UTHM tetapi terdapat di perpustakaan universiti tempatan yang lain dan di British Library. Bahan rujukan yang dibenarkan dipinjam melalui perkhidmatan ini adalah buku, artikel jurnal, kertas persidangan dan piawai sahaja. Tiada bayaran perkhidmatan dikenakan kepada pengguna. Tempoh pinjaman bahan yang dimohon adalah tertakluk kepada peraturan yang dikenakan oleh perpustakaan pembekal. Pengguna dikehendaki mengisi maklumat bahan yang dimohon dengan lengkap dalam Borang Permohonan PAP yang boleh didapati di Kaunter Sirkulasi. Status permohonan akan dimaklumkan kepada pengguna melalui e-mail atau telefon.

Penyebaran Maklumat Terpilih
Perkhidmatan ini meliputi penghantaran Halaman Kandungan Jurnal Terkini dan Senarai Bahan Baru. Perkhidmatan Halaman Kandungan Jurnal Terkini adalah untuk staf akademik sahaja dimana halaman kandungan jurnal yang dipilih akan dihantar terus kepada pemohon melalui e-mail. Perkhidmatan Senarai Bahan Baru disediakan untuk memaklumkan kepada pengguna mengenai bahan-bahan terkini di perpustakaan. Senarai ini diedarkan kepada pelajar dan staf.