Laman Utama English Version Hubungi Kami Laman Web Rasmi UTHM Laman Web Rasmi UTHM Hubungi Kami English Version
 
 


Perpustakaan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia mula beroperasi pada 1 Oktober 1993. Pada masa itu, UTHM dikenali sebagai Pusat Latihan Staf Politeknik (PLSP). Dengan berbekalkan 5,000 naskah bahan bacaan tinggalan Politeknik Batu Pahat serta sebuah bangunan kecil dua tingkat yang menyediakan 120 tempat duduk, pihak pengurusan perpustakaan memulakan misi menyokong staf akademik dan pelajar dalam program pembelajaran, pengajaran dan penyelidikan.

Untuk menampung jumlah pengguna yang semakin meningkat, bangunan tersebut telah dibesarkan pada tahun 2000, sehingga boleh menyediakan ruang bacaan kepada 200 orang pengguna. Dengan pembukaan Perpustakaan Cawangan Kampus Bandar pada tahun 2004, dan Perpustakaan B5 (diatas Pejabat Bendahari) pada tahun 2006, jumlah tempat duduk pengguna telah meningkat kepada 500. Koleksi di Perpustakaan B5 terdiri daripada jurnal, majalah, tesis, bahan audio visual, novel, peta, prospektus, kertas soalan peperiksaan dan koleksi rujukan. Pada bulan Julai 2008, Perpustakaan Cawangan Kampus Bandar telah berpindah ke premis baru, bersebelahan Kampus Bandar, untuk menampung pertambahan koleksi bahan dan menyediakan lebih banyak tempat duduk pengguna. Koleksi di Perpustakaan Cawangan Kampus Bandar adalah untuk menampung keperluan Fakulti Pengurusan Teknologi, Perniagaan dan Keusahawanan, Fakulti Pendidikan Teknikal dan Fakulti Teknologi Maklumat dan Multimedia.

Pembangunan koleksi perpustakaan dalam pelbagai bidang pengajian, terutamanya sains dan teknologi, terus dipertingkatkan dari semasa ke semasa untuk menyokong aktiviti pembelajaran, pengajaran dan penyelidikan. Pada masa kini, perpustakaan telah mempunyai 150,000 naskhah monograf, 6,000 judul tesis, 300 judul jurnal, 40 judul majalah dan 16,000 unit bahan audio visual. Pihak perpustakaan juga telah melanggan 26 perkhidmatan pangkalan data atas talian dan 4 perkhidmatan "e-books".

Bermula Mei 2010, Perpustakaan UTHM telah berpindah ke bangunan baru yang mempunyai keluasan 16,000 meter per segi dan boleh memuatkan 300,000 naskhah koleksi. Bangunan baru ini boleh menampung lebih kurang 2,400 pengguna. Ia menyediakan ruang belajar yang luas dan kondusif dan mempunyai 100 bilik karel, bilik penyelidikan pascasiswazah, 40 bilik perbincangan, 2 bilik seminar, auditorium dan bilik bacaan 24 jam. Dengan perpindahan ke bangunan baru, Perpustakaan Cawangan Kampus Bandar dan Perpustakaan B5 telah berhenti beroperasi dan semua koleksi bahan perpustakaan dipindahkan ke bangunan baru.

Projek pengautomasian sistem perpustakaan telah dimulakan pada tahun 1997 untuk menguruskan perkhidmatan perpustakaan dengan lebih cekap.